Penguatkuasa ketika melakukan pemeriksaan di bilik penginapan sempit yang digunakan pekerja warga asing di Batu Pahat. Foto Essa Abu Yamin
Penguatkuasa ketika melakukan pemeriksaan di bilik penginapan sempit yang digunakan pekerja warga asing di Batu Pahat. Foto Essa Abu Yamin
Oleh Essa Abu Yamin
am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Sebuah kilang membuat tauhu di sini diberi notis amaran selepas gagal menyediakan tempat tinggal selesa kepada 168 pekerja warga asing hari ini.

Pengarah Tenaga Kerja Negeri Johor, Nasir Kassim berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah tempat tinggal pekerja yang sempit serta tidak mematuhi tahap keselamatan di kediaman pekerja berkenaan.

"Majikan terbabit diberikan tempoh selama 14 hari untuk menyediakan tempat yang lebih selesa dan pihak Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) akan mengambil tindakan yang lebih berat sekiranya gagal.

"Ketika pemeriksaan yang lakukan, majikan menempatkan pekerja mereka di bilik yang sempit dan kurang sesuai untuk keselesaan pekerja," katanya ketika sidang media Operasi Pematuhan Di Bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990.

Menurut Nasir, kemudahan tandas dan tempat memasak yang selesa tidak disediakan majikan sehingga pekerja terpaksa memasak di bilik masing-masing yang boleh mengundang risiko, selain tidak menyediakan alat pemadam kebakaran yang sesuai.

"Sekiranya majikan itu masih berdegil dan tiada usaha menambah baik kediaman terbabit dalam masa 14 hari, tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 24D (1) dan Seksyen 24D (3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

"Jika sabit kesalahan majikan dan penyedia tempat tinggal itu boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, sehingga semalam pihak JTK Negeri Johor menjalankan pemeriksaan ke atas 1016 buah syarikat membabitkan 5053 tempat penginapan atau kediaman pekerja.

"Operasi dijalankan secara bersepadu dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 4:35 PM