TENGKU Zafrul berkata setakat ini, pakej rangsangan ekonomi ini  memanfaatkan 20 juta individu.
TENGKU Zafrul berkata setakat ini, pakej rangsangan ekonomi ini memanfaatkan 20 juta individu.

PENGESAHAN penarafan hutang Malaysia yang kekal pada tahap A3 oleh Moody's menunjukkan kepercayaan kepada kecekapan pengurusan ekonomi negara ini ketika menghadapi krisis.

Ia juga menunjukkan keyakinan atas kekukuhan kawalan disiplin fiskal dan prospek mampan pertumbuhan jangka sederhana.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi rakyat biasa, pengesahan ini membawa makna kerajaan masih mampu untuk melaksanakan program pemulihan ekonomi mengikut jadual yang dirancang.

"Insya-Allah, pemulihan ekonomi juga akan mewujudkan pekerjaan baharu di mana kerajaan menyasarkan 500,000 pekerjaan baharu tahun ini," katanya dalam laporan Laksana ke-39 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), semalam.

Menurutnya, walaupun negara mengalami defisit fiskal, perbelanjaan tambahan melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi pada tahun 2020 adalah bukti bahawa kerajaan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat.

"Setakat ini, pakej rangsangan ekonomi ini memanfaatkan 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan, dengan lebih daripada 50 peratus inisiatif sudah disalurkan. Daripada jumlah ini, sebahagian besar inisiatif ini termasuk bantuan segera dan tunai seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Khas Prihatin (GKP), Program Subsidi Upah (PSU) dan pelbagai langkah lain untuk melindungi rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 7:10 AM