PERBELANJAAN pembangunan bagi Belanjawan 2021 hanya RM69 bilion. FOTO EPA
PERBELANJAAN pembangunan bagi Belanjawan 2021 hanya RM69 bilion. FOTO EPA
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2022 perlu ditambah bagi meningkatkan peluang pekerjaan, sekali gus merancakkan semula ekonomi.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, perbelanjaan pembangunan untuk Belanjawan 2021 adalah sebanyak RM69 bilion jika dibandingkan perbelanjaan mengurus iaitu RM236.5 bilion.

Katanya, justeru, perbelanjaan pembangunan bagi Belanjawan 2022 perlu dipertingkatkan agar dapat merangsang ekonomi negara dengan suntikan kewangan yang akan dapat membantu pelbagai sektor yang terbabit dalam aktiviti pembangunan.

"Manfaatnya juga termasuk bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berkaitan untuk memperoleh manfaat daripada perbelanjaan pembangunan terbabit yang akhirnya dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang menjadi antara matlamat paling utama dalam Belanjawan 2022 yang akan diumumkan minggu depan.

"Selain itu, berdasarkan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu peruntukan yang disediakan sebanyak RM400 bilion dan jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding perbelanjaan RMK-11 iaitu RM248.5 bilion.

"Maka berkemungkinan akan berlaku peningkatan peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan bagi Belanjawan 2022 dan 2023," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, perbelanjaan pembangunan bagi Belanjawan 2021 hanya RM69 bilion daripada RM322.5 bilion iaitu 21.4 peratus sahaja.

Dr Anuar Shah berkata, peruntukan pembangunan untuk Belanjawan 2022 dan 2023 perlu sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan belanjawan untuk merancakkan ekonomi negara dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau berkata, ia dapat membantu menurunkan kadar pengangguran dan mengurangkan kebergantungan Program Subsidi Upah (PSU).

"Semua inisiatif kerajaan dalam Belanjawan 2021 dan Pakej Rangsangan Ekonomi termasuk PSU berjaya mengawal kadar pengangguran daripada meningkat dan terbaru kadar pengangguran pada Ogos 2021 menurun kepada 4.6 peratus daripada Julai (4.8 peratus), masing-masing pada 778,200 dan 748,800 orang.

"Sekiranya kerajaan meningkatkan perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2022, maka diharapkan ia dapat memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan dan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 7:00 AM