ANGGOTA Polis membuat pemeriksaan ketika operasi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANGGOTA Polis membuat pemeriksaan ketika operasi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Rawang: Mohon kerja melalui abang. Itu dilakukan lima warga Myanmar bawah umur yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Mereka dikesan bekerja di kilang elektronik di sini walaupun masih di bawah umur.

Bagaimanapun mereka diselamatkan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman, Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) dan Jabatan Tenaga Kerja.

Operasi khas bermula 2 petang semalam di premis itu dilakukan selepas risikan mendapati terdapat pekerja bawah umur dieksploitasi di kilang berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah (D3) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati kilang terbabit didapati menggaji pekerja di bawah umur yang tidak dibenarkan.

"Dalam serbuan berkenaan seramai 165 pekerja diperiksa, 46 daripdanya warga tempatan dan 119 semua adalah warganegara Myanmar yang memilik kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

"Lima daripadanya adalah remaja berusia 17 tahun. Siasatan mendapati pekerja dan mangsa tinggal di rumah sendiri dan hostel yang disediakan," katanya kepada Harian Metro.

Fadil berkata, pemeriksaan lanjut terhadap gaji mangsa mendapati majikan membayar gaji tepat pada masa dengan jumlah RM51 sehari.

"Semua mereka menerima gaji secara purata RM1,300 sebulan secara tunai. Premis adalah bangunan kilang dan beroperasi selama 21 jam sehari dengan pecahan dua syif iaitu bermula dari 8 pagi hingga 5 petang dan bersambung dari 8 malam hingga 6 pagi," katanya.

Katanya, semua tangkapan dan mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen12 Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 14 Akta Atipsom 2007," katanya.

#kw

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 11:29 AM