ABU Bakar menunjukkan dokumen pelarian UNHCR.
ABU Bakar menunjukkan dokumen pelarian UNHCR.

Melaka: Majikan perlu berhati-hati ketika menjalankan urusan pengambilan pekerja asing bagi mengelakkan ditipu agensi yang menawarkan pelarian yang memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Pemangku Pengarah Jabatan Imigresen negeri Abu Bakar Sidek Hasan berkata, pemegang kad UNHCR mempunyai syarat ketat dan tidak dibenarkan bekerja.

“Golongan ini tidak diiktiraf kewarganegaraan dan mereka menerima bantuan daripada pertubuhan itu, malah tidak dibenarkan bekerja di negara mereka berada.

“Pembekal pekerja asing, syarikat perantara dan majikan sepatutnya tahu mengenai perkara ini, namun masih berlaku kejadian pemegang kad UNHCR ditahan kerana bekerja dalam serbuan kami,” katanya selepas melakukan serbuan di kilang di Batu Berendam, di sini, kelmarin.

Abu Bakar berkata, kebanyakan majikan menggunakan alasan tidak mengetahui pemegang kad UNHCR tidak boleh digaji atau diambil bekerja seperti yang dikesan di kilang pembuatan cip, di sini.

“Dalam serbuan itu, 20 pekerja warga Myanmar memegang kad UNHCR termasuk wanita yang didapati mempunyai pasport.

“Jika mempunyai pasport, individu terbabit diiktiraf kewarganegaraan, jadi dia tidak layak memohon perlindungan kerana bukan pelarian,” katanya.

Menurutnya, 392 pemegang kad UNHCR ditahan Jabatan Imigresen Melaka tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:13 AM