FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dianggarkan lebih 20,000 pelarian di negara ini masih belum berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, perkara itu dimaklumkan delegasi daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi UNHCR diketuai Thomas Albrecht ketika melakukan kunjungan hormat ke atas beliau hari ini.

Saravanan berkata, antara isu yang dibincangkan dalam kunjungan hormat itu ialah imunisasi Covid-19 kepada pemegang kad UNHCR, selaras dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula esok.

"Program imunisasi ini dijangka akan meliputi 70 peratus daripada populasi dalam negara menjelang 2022. Imunisasi ini perlu juga diperluas kepada golongan pemegang kad UNHCR bagi memastikan tidak wujudnya kluster Covid-19 dalam kalangan mereka.

"Beberapa buah negara sudah menyatakan kesediaan untuk membiayai kos imunisasi ini kepada pemegang kad UNHCR," katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat Disember 2020, terdapat seramai 178,610 pelarian dan pemohon suaka yang telah berdaftar dengan pejabat UNHCR di Malaysia, dengan 154,030 orang dari Myanmar membabitkan etnik Rohingya (102,250 orang), etnik Chin (22,140 orang) dan selebihnya daripada etnik-etnik lain.

Justeru katanya, pembabitan UNHCR bagi tujuan penyebaran maklumat di lapangan amat diperlukan untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada golongan pelarian, selain penyertaan oleh kementerian dan agensi kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 9:41 PM