GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan empat individu termasuk dua wanita di sebuah premis di Hulu Langat semalam selepas dipercayai terbabit dengan ajaran yang meragukan.

Pengarah JAIS, Dato Mohd Shahzihan Ahmad berkata, jabatan itu melaksanakan tiga waran tangkap terhadap tiga orang yang disyaki serta satu waran geledah premis pada 11.20 malam.

"Berikutan dengan itu, JAIS berjaya menahan empat individu iaitu dua lelaki dan dua wanita serta menyita beberapa bahan bukti dari premis dan individu terbabit.

"Semua yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat JAIS untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7, 9 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan kemudian disebut di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini.

"Mahkamah menetapkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin bagi seorang tertuduh lelaki dengan syarat tambahan iaitu passport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak dua minggu sekali. Manakala seorang lagi dibebaskan dengan bon.

"Bagi dua tertuduh wanita pula mahkamah menetapkan masing-masing jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin; passport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di PAID Gombak dua minggu sekali," katanya.

Menurutnya, sebutan semula kes ditetapkan 28 Julai depan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

"Dengan tertangkapnya empat orang suspek ini, JAIS dijangka dapat menyelesaikan kes membabitkan perbuatan beberapa individu di dalam negeri ini yang disyaki bercanggah dengan ketetapan hukum syarak atau fatwa, penghinaan kepada Al-Quran dan Al-Hadith, serta mempersenda, menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 7:15 PM