GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Aktiviti pengimarahan di semua masjid dan surau di Pulau Pinang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perkara itu ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) dalam pekeliling yang dikeluarkan hari ini.

Ia termasuk aktiviti seperti kuliah subuh, kelas pengajian agama dan akad nikah.

Masjid dan surau turut dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat fardu dengan kadar bilangan jemaah mengikut keluasan masjid dengan mengambil kira penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Sementara itu, Pengarah JHEAINPP Mohd Zakuan Zakaria berkata, garis panduan mengenai aktiviti agama itu akan dikuatkuasakan esok selari dengan pelaksanaan PKPB.

"Ketetapan ini dibuat melalui perbincangan dengan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang pada 2 Mac lalu.

"Arahan pelaksanaan aktiviti masjid dan surau ini akan dikeluarkan dari semasa ke semasa secara berperingkat tertakluk kepada situasi semasa pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 5:38 PM