Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Beberapa faktor kesihatan awam dan imuniti kelompok perlu diambil kira sebelum rentas negeri dibenarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, larangan rentas negeri dilaksanakan bagi melindungi zon hijau dan kuning daripada bertukar merah kerana peningkatan kes Covid-19.

Beliau berkata, beberapa penilaian dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antaranya situasi terkini kes harian dan kes sembuh, kadar kebolehjangkitan dan kematian, keupayaan fasiliti kesihatan seperti jumlah katil dan unit rawatan rapi (ICU).

"KKM turut perlu menilai jumlah petugas kesihatan yang dijangkiti dan keupayaan makmal menjalankan ujian RTK antigen dan RT-PCR.

"KKM perlu menilai faktor setempat sebelum membentangkan laporan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam sidang media Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, persatuan perniagaan meminta kerajaan meneliti semula keputusan larangan rentas negeri yang dikatakan memberi impak kepada ekonomi.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan peningkatan kes dalam tempoh beberapa hari lalu.

Menurutnya, Malaysia kini menggunakan dua strategi untuk mengawal Covid-19 dengan aktiviti kesihatan awam selain vaksinasi.

"Trend kes kini dilihat menurun, namun jika kita alpa kes akan meningkat semula.

"Berdasarkan saranan WHO, tiada seorang yang selamat sehingga semua orang selamat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan menghantar data berhubung vaksin yang diluluskan secara bersyarat di Malaysia.

Menurutnya, kaedah kelulusan bersyarat itu memastikan vaksin digunakan selamat dan tiada kesan sampingan.

Katanya, NPRA akan berikan data kepada KKM untuk pastikan vaksin yang digunakan itu selamat dan tiada kesan sampingan," katanya.

ANGGOTA polis dan tentera memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
ANGGOTA polis dan tentera memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 7:12 PM