Muhaamad Hafis Nawawi dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai mendapatkan pandangan pakar dan maklumat sahih serta terkini berkaitan vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM terbuka menerima pandangan daripada pelbagai pihak berkaitan Covid-19 termasuk menggunakan saluran media sosial.

"Apa yang kita laksanakan sekarang ini berdasarkan bukti saintifik. Sebagai contoh sebelum vaksin diluluskan, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan melihat kajian fasa ketiga dari segi keberkesanan dan keselamatan vaksin itu.

"Jika ada kesan sampingan dan sebagainya, mungkin kita akan lebih berhati-hati menggunakan vaksin itu," katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Dr Noor Hisham berkata, apa yang penting KKM menjalankan libat urus dengan pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan dan doktor swasta untuk memberi maklumat sahih serta bukti kukuh berkaitan vaksin Covid-19.

"NPRA akan melihat dari semua aspek berkaitan vaksin itu dan KKM juga memantau kesan sampingan di mana jika ada akan dicatat dan dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"KKM juga sudah bersiap sedia sejak Ogos tahun lalu iaitu menyediakan prasarana untuk memastikan bagaimana vaksin diterima dan disimpan dengan selamat," katanya.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif sudah mula dibuat dan vaksin akan mula digunakan pada 26 Februari ini dan bagi orang ramai akan dimaklumkan nanti untuk mendaftar.

"Inilah tindakan positif kita untuk memutuskan Covid-19 menggunakan vaksin kerana sekarang ini kita menggunakan kaedah kesihatan awam.

"Jika kedua-dua kaedah ini digunakan, kita boleh tamatkan Covid-19 di negara ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 10:20 PM