GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Tiada sebarang dokumen diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung pembekalan vaksin Covid-19 dari syarikat pembekal Pfizer.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM juga tidak mempunyai maklumat mengenai pembekalan vaksin berkenaan.

Menurutnya, setakat ini Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) belum menerima sebarang dokumen daripada syarikat berkenaan untuk mendaftar dan menguji vaksin Covid-19 di Malaysia.

"KKM akan sentiasa memantau perkembangan vaksin Covid-19 dikeluarkan syarikat berkenaan di samping mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

"Menjadi tanggungjawab NPRA dan KKM untuk memastikan sebelum sesuatu produk didaftarkan untuk dipasarkan di Malaysia, ia perlu melalui proses penilaian dan pengujian berasaskan prinsip kualiti, keselamatan dan juga keberkesanan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, NPRA juga memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubatan yang berdaftar sentiasa terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans.

Menurutnya, KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai mengenai perkara terbabit.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, Malaysia akan meneliti keberkesanan dan kesan sampingan vaksin Covid-19 sebelum ia digunakan di Malaysia.

United Kingdom (UK) dijangka menggunakan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech yang sudah diluluskan untuk kegunaan umum mulai minggu depan.

Ia menjadikan UK negara pertama bakal menggunakan vaksin berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 6:11 PM