SERAMAI 94 orang ditahan kerana ingkar PKP di restoran di Batu Pahat. FOTO ihsan polis
SERAMAI 94 orang ditahan kerana ingkar PKP di restoran di Batu Pahat. FOTO ihsan polis
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Polis menahan 94 individu di sebuah restoran kerana menjadikan premis berkenaan sebagai pusat hiburan dan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pusat bandar ini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam serbuan pada 9.50 malam itu, polis menahan pelanggan dan pekerja premis berkenaan yang didapati mengadakan aktiviti hiburan dalam bentuk 'live band'.

"Siasatan mendapati premis berkenaan hanya mempunyai lesen kedai makan, tetapi menjalankan aktiviti hiburan.

"Tiada penjarakan fizikal dilaksanakan di dalam premis itu yang didapati begitu sempit dan sesak untuk memuatkan keseluruhan pengunjung terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis menahan pekerja, pemuzik dan pelanggan warga tempatan berusia di antara 17 hingga 44 tahun.

Menurutnya, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan aktiviti hiburan termasuk pembesar suara, set sistem audio, komputer riba, pemain DVD, drum, gitar, skrin layar, televisyen dan lain-lain.

"Seramai 88 orang ditahan reman selama dua hari bermula 28 Februari sehingga 1 Mac ini dan hasil ujian air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor 1998, Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Pihak polis menyeru kepada orang ramai dan pemilik restoran agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan aktiviti hiburan masih tidak dibenarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 5:01 PM