ANTARA yang ditahan mempunyai tatu kongsi gelap. FOTO Tangkap layar video Ihsan JSJ
ANTARA yang ditahan mempunyai tatu kongsi gelap. FOTO Tangkap layar video Ihsan JSJ
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pusat hiburan yang dipercayai menjadi lokasi geng kongsi gelap berkumpul diserbu polis dalam Op Noda, kelmarin.

Serbuan oleh Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu berjaya menahan dua ahli kongsi gelap termasuk seorang dikehendaki polis.

JSJ dalam kenyataan berkata, ia antara enam premis hiburan yang diserbu di sekitar ibu kota dan Selangor bermula 9 malam sehingga 6 pagi.

"Premis hiburan itu dikesan menggunakan khidmat ahli kongsi gelap sebagai 'bouncer', selain menjadikan premis sebagai lokasi kumpulan itu berkumpul dan berhibur.

"Malah, premis turut berselindung di sebalik perniagaan berkonsepkan kelab terbuka selain kedudukannya di bangunan rumah kedai dipercayai bagi mengelirukan pihak berkuasa," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, seramai 21 orang terdiri daripada warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan, pengurus dan pekerja am ditahan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati empat individu yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan Imigresen 1963, Akta Eksais 1976, Akta Pertubuhan dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 11:03 PM