Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Remaja yang mempunyai latar belakang kesihatan yang berisiko akan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, keputusan itu dicapai kumpulan teknikal Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menurutnya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menyarankan vaksin Pfizer diberikan untuk remaja berusia 12 tahun ke atas.

"Kumpulan remaja yang mempunyai latar belakang kesihatan seperti komobid, kanser, sistem daya tahan rendah dan penyakit berkaitan paru-paru akan menerima vaksin lebih awal.

"Data terkini daripada beberapa negara luar mendapati vaksin Pfizer berisiko rendah kepada golongan remaja.

"Golongan remaja berisiko ini akan diberi perhatian dengan meneliti data klinikal yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya, hari ini.

FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP

Hadir sama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Dr Adham berkata, setakat ini pelajar kelas peperiksaan akan menerima suntikan vaksin bagi membolehkan golongan ini menjalani sesi persekolahan bersemuka.

Sementara itu, Dr Adham berkata, seramai 116,378 kanak-kanak disahkan positif Covid-19 sehingga 29 Jun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu 37,205 kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun dijangkiti Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 4:00 PM