Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Kerajaan tidak menolak kemungkinan lebih banyak negeri yang mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan untuk tidak membenarkan penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, selain daripada tuntutan agama, ia adalah suara masyarakat, termasuk bukan beragama Islam.

Katanya, cadangan terbabit juga berdasarkan komen serta pandangan positif masyarakat walaupun ada segelintir yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan garis panduan berkenaan.

"Penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka tidak mendatangkan banyak kebaikan malah mendorong perkara negatif seperti kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang tidak berdosa.

"Selain itu, ia sebahagian daripada strategi kerajaan yang holistik dan perlu disokong semua rakyat tidak kira bangsa, agama atau kefahaman mana-mana parti kerana ia tidak membabitkan sebarang agenda politik.

"Sebenarnya negara kita agak terbelakang daripada sudut pengawalan penjualan minuman keras tidak seperti negara jiran, Singapura, yang mana mengenakan undang-undang lebih ketat dengan mengenakan had dan masa tertentu untuk jualan minuman keras," katanya.

Beliau ditemui ketika menghadiri Program Inspirasiku MyHaus dan FoodBank di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Parang Puting, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 seperti diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk menyokong pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan, sebagai langkah pencegahan terbaik untuk rakyat bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

"Saya menyeru kepada semua rakyat supaya mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan, ini langkah terbaik kerana peningkatan kes dengan kluster yang agak agresif.

"Rakyat juga diharap tidak panik kerana apa yang paling penting adalah kekal patuh SOP yang ditetapkan selain menjaga kesihatan," katanya.

AHMAD Marzuk (kiri) menyampaikan bantuan kepada keluarga asnaf. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
AHMAD Marzuk (kiri) menyampaikan bantuan kepada keluarga asnaf. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 3:05 PM