Amir Abd Hamid

Putrajaya: "Saya ingin memanjatkan syukur kepada Allah SWT kerana hari ini saya sudah menerima vaksin Covid-19 yang pertama di negara kita."

Itu ayat pertama diluahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaik bertemu media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya, hari ini.

Beliau meluahkan keyakinan bahawa vaksin Covid-19 adalah cukup selamat dan berkesan.

"Kalau tengok keadaan saya setakat ini, Alhamdulillah.

"Jadi saya nak merayu kepada semua rakyat Malaysia dan mereka yang tinggal di Malaysia yang kita sudah putuskan untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19 secara percuma.

"Tampil ke depan mendaftar di dalam MySejahtera supaya dapat ditentukan giliran bila dan di mana saudara dan saudari akan diberikan suntikan vaksin Covid-19 ini," katanya.

TAN Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya hari ini. FOTO  Bernama
TAN Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya hari ini. FOTO Bernama

Beliau berkata, kerajaan yakin dan percaya bahawa usaha sedang dibuat adalah untuk menentukan negara dapat memutuskan rantaian Covid-19.

Perdana Menteri menyeru semua penduduk di Malaysia mendokong usaha menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula secara rasmi, hari ini.

Wartawan: Sakit tak?

Muhyiddin: Tak rasa apa pun, saya tunggu sekejap tengok dah selesai. Macam suntikan biasa, Tan Sri (Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) ada sini pun ok (selepas disuntik vaksin). Insya-Allah dalam masa singkat Malaysia akan bebas daripada wabak Covid-19 ini. Terima kasih saya ucapkan.

Sementara itu, jurusuntik yang melakukan suntikan vaksin kepada Perdana Menteri, Ketua Jururawat Pejabat Kesihatan Putrajaya, Lina Ibrahim bersyukur terpilih untuk tugas besar itu.

"Syukur Alhamdulillah kerana saua dipilih untuk memberikan vaksin kepada pemimpin tertinggi negara iaitu Perdana Menteri sendiri.

"Tambahan pula ini adalah vaksin baru," katanya ringkas.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 4:38 PM