GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Sepang: Tiga lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mengilang barang berjadual iaitu 2,349 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen, minggu lalu.

Tertuduh Muhamad Rohadi, 21; Dedi Candra, 31, dan Supardi, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan, di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Kesemua mereka didakwa bersama-sama mengilang tanpa lesen barang berjadual iaitu 2,349 kg LPG (berat kasar) dan melakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 3 (1), Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di sebuah premis di Jalan Perusahaan Meranti 5, Kampung Sungai Rasau, di sini, pada 7 malam, 16 Februari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan kesalahan pada kali kedua dan seterusnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh, dan mahkamah menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes dan laporan kimia, selain mengeluarkan perintah supaya mereka dihantar ke Penjara Sungai Buloh, untuk tahanan sementara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jesuthasen Nair, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 5:48 PM