Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Seramai 3,922 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan akan menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,430 akan menerima suntikan untuk fasa pertama dan selebihnya diberikan secara berperingkat.

"Pada 24 Februari ini pasukan kami akan mengiringi sejumlah vaksin Covid-19 diambil dari Pusat Penyimpanan di Subang Jaya untuk dibawa masuk ke negeri ini.

"Seterusnya vaksin itu akan diagihkan ke 13 lokasi setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan suntikan ini termasuk kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pasukan Polis Marin (PPM)," katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan pelindung muka dan vitamin daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan yang diwakili pengerusinya, Datuk Aziz Nawi kepada polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Shafien berkata, untuk fasa pertama itu nanti, pihaknya akan cuba memberikan suntikan vaksin seberapa awal yang boleh selepas dibuat penyelarasan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa terdekat.

Menurutnya, bagi pegawai dan anggota polis yang mempunyai masalah kesihatan, mereka akan diberi borang perakuan penerima untuk dibuat tapisan.

"Jika ada pegawai atau anggota yang mempunyai masalah atau sebarang alahan, mereka akan diasingkan dahulu malah suntikan vaksin Covid-19 pun bukan boleh diberi sekali gus.

SHAFIEN memakaikan pelindung muka kepada seorang anggota polis sebagai gimik sempena majlis penyerahan pelindung muka dan vitamin daripada MCPF Kelantan kepada PDRM Kontinjen Kelantan. FOTO SITI ROHANA IDRIS
SHAFIEN memakaikan pelindung muka kepada seorang anggota polis sebagai gimik sempena majlis penyerahan pelindung muka dan vitamin daripada MCPF Kelantan kepada PDRM Kontinjen Kelantan. FOTO SITI ROHANA IDRIS

"Ia hanya untuk petugas yang mungkin hari ini untuk mengawal sekatan jalan raya kemudiannya anggota rondaan MPV dan apabila keadaan kembali normal, akan diberi untuk kumpulan kedua pula tapi masih dalam fasa pertama," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kegiatan bertukar barangan menggunakan botol antara rakyat tempatan dan negara jiran merentasi Sungai Golok, Shafien berkata, pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan khas bersama PGA untuk menangani perkara terbabit.

"Kebelakangan ini kami mendapati sudah tiada aktiviti sedemikian dilakukan, namun pihak berkuasa akan terus memantau dan pasukan khas ini berada di mana-mana sahaja sekitar sempadan dengan diketuai Ketua Polis Daerah.

"Kami bersama PGA melakukan penugasan sepanjang 24 jam dan setakat ini tiada tangkapan dibuat," katanya.

Sebelum ini tular video mengenai aktiviti bertukar-tukar barang yang ditarik menggunakan tali merentangi Sungai Golok berikutan kerajaan kedua-dua negara mengambil pendekatan untuk menutup sempadan bagi memutuskan penularan pandemik Covid-19 yang sedang menyerang dunia ketika ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 5:48 PM