Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Polis Kelantan mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil kesempatan terhadap kelonggaran bilangan pelanggan dibenarkan makan di kedai makan yang bergantung kepada keluasan meja dan jarak satu meter.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, walaupun prosedur operasi standard (SOP) di kedai makan sudah dilonggarkan di negeri itu, penjarakan fizikal dengan jarak satu meter antara satu sama lain masih perlu dipatuhi.

"Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita masih kekalkan dengan 19 lokasi sekatan jalan raya (SJR), tiada perubahan cuma penguatkuasaan SOP di kedai makan sahaja (difokuskan).

"Kedai makan dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam dan kehadiran pelanggan mengikut keperluan meja iaitu jika (meja) kecil, kekalkan dengan dua orang dengan penjarakan manakala jika meja besar mungkin boleh muat hingga empat orang.

"Ada sesetengah pihak mengambil kesempatan terhadap kelonggaran ini dengan menarik kerusi dan letak di meja lain untuk menyertai kumpulan rakan lain dan tindakan ini jelas melanggar SOP," katanya.

DATUK Shafien Mamat memakaikan pelindung muka kepada seorang anggota polis sebagai gimik sempena majlis penyerahan pelindung muka dan vitamin. FOTO Siti Rohana Idris
DATUK Shafien Mamat memakaikan pelindung muka kepada seorang anggota polis sebagai gimik sempena majlis penyerahan pelindung muka dan vitamin. FOTO Siti Rohana Idris

Beliau ditemui di majlis penyerahan pelindung muka dan vitamin daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan yang diwakili pengerusinya, Datuk Aziz Nawi kepada polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Shafien turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak bersikap 'memandai-mandai' kerana pihak berkuasa sentiasa membuat pemantauan tanpa mengira masa.

Selain pelanggan, beliau turut menasihatkan pemilik premis agar pematuhan terhadap SOP diteruskan bagi melandaikan graf jangkitan wabak Covid-19.

"Pasukan pemantau kami bersama agensi lain yang diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sedang memantau pematuhan SOP dan orang kita ada di mana-mana.

"Nasihat saya kepada pemilik premis dan orang ramai agar patuhilah SOP kerana kita kena ingat ia adalah satu pendekatan paling mujarab untuk landaikan lekuk Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 2:59 PM