Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Seri Iskandar: Peranan badan bukan kerajaan (NGO) bakal dioptimumkan menerusi penyumberan luar perkhidmatan khusus bagi pengurusan semua institusi berkaitan kesejahteraan warga emas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, selain menjimatkan 30 peratus perbelanjaan kerajaan, kaedah itu dilihat bermanfaat dalam memantapkan NGO sekali gus mewujudkan situasi menang-menang.

"Kita tahu mereka (NGO) yang dipilih ini juga mempunyai kepakaran tertentu dari segi pengurusan, ilmu, pengalaman mengendalikan program serta rumah khas penjagaan warga emas, seterusnya kos operasi akan ada pengurangan sebanyak 30 peratus.

"Ia juga adalah manifestasi kerjasama antara kerajaan dan NGO dalam penjagaan warga emas kerana seperti yang diketahui, Malaysia akan menjadi 'negara tua' menjelang 2030 kerana ketika itu (dijangka) 15 peratus populasi berusia 60 tahun ke atas," katanya.

Beliau berkata demikin dalam sidang media sempena tinjauannya ke Rumah Seri Kenangan (RSK) Seri Iskandar, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Rina turut menyampaikan replika cek bernilai RM494,400 kepada NG Pertubuhan Restu Amal Jasa Malaysia yang dipertanggungjawabkan merealisasikan hasrat itu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Maziah Che Yusoff serta Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fatimah Zuraidah Salleh.

Rina berkata, sebagai permulaan Projek Rintis Penyumberan Luar dijalankan di RSK Seri Iskandar membabitkan penyediaan fasiliti oleh kerajaan sementara penyediaan modul, penjagaan, operasian harian, pembangunan modal insan dan lain-lain sepenuhnya diuruskan oleh NGO.

"Selepas enam bulan, baru kita akan lihat keberkesanan projek ini selain menambah baik sebarang kekurangan sebelum ianya boleh disebar luaskan kepada RSK lain," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Rina berkata, kira-kira 60 peratus atau 90,000 daripada kira-kira 150,000 wanita hamil di negera ini yang berdaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 sudah selesai vaksinasi.

Katanya, pihaknya menggesa agar golongan terbabit diberi keutamaan mendapatkan pelalian itu disebabkan selain memikirkan nyawa si ibu, nyawa bayi yang bakal dilahirkan mereka juga perlu diambil kira.

"Setiap daripada kita wajib bertanggungjawab, jangan lagi ragu-ragu terutamanya buat suami wanita hamil itu selain pemimpin masyarakat setempat serta NGO turut perlu memainkan peranan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 3:25 PM
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) ketika menyampaikan mok cek berjumlah RM494,4000 kepada wakil NGO Pertubuhan Restu Amal Jasa Malaysia (kiri) sempena lawatannya ke Rumah Seri Kenangan (RSK) Seri Iskandar, di sini, hari ini bagi meninjau Projek Rintis Penyumberan Luar atau Alternative Service Delivery (ASD) yang dijalankan di RSK terbabit. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) ketika menyampaikan mok cek berjumlah RM494,4000 kepada wakil NGO Pertubuhan Restu Amal Jasa Malaysia (kiri) sempena lawatannya ke Rumah Seri Kenangan (RSK) Seri Iskandar, di sini, hari ini bagi meninjau Projek Rintis Penyumberan Luar atau Alternative Service Delivery (ASD) yang dijalankan di RSK terbabit. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI