Datuk Mohd Ajib Ismail. FOTO Aziah Azmee
Datuk Mohd Ajib Ismail. FOTO Aziah Azmee
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menggunakan khutbah Jumaat sebagai inisiatif meningkatkan kefahaman umat Islam tentang keperluan mengambil vaksin susulan wabak Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, setakat ini dua khutbah Jumaat memberi penekanan kepada vaksinasi dan ia akan diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, ia antara usaha jabatan itu untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepentingan vaksin di dalam mencegah jangkitan.

"Kita akan teruskan dalam khutbah Jumaat selepas ini dan terus memberikan kefahaman kepada masyarakat," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu beliau berkata, Jawi juga akan memperkasa pendidikan dan pengurusan masjid di Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi tahun ini.

Menurutnya, ia termasuk menyesuaikan diri dengan norma baharu susulan penularan wabak Covid-19.

Katanya, ia bakal memberi manfaat kepada 200 sekolah di bawah jabatannya selain lebih 800 surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan.

"Bagaimana Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) termasuk penggunaan aplikasi terkini untuk pelajar dan jemaah, semua itu perlu diambil kira.

"Ia adalah fokus Jawi untuk tahun 2021 ini mengambil kira situasi terkini di dalam negara. Sebagai jabatan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, Jawi juga perlu berubah mengikut peredaran zaman dan bertindak pantas untuk memberi maklum balas segera kepada isu membabitkan agama," katanya.

Menurutnya, ia termasuk peremajaan semula jabatan itu dalam konteks khidmat kepada orang ramai dengan lebih berkesan.

Mohd Ajib berkata, selain daripada urusan seharian yang dikendalikan Jawi, program di masjid dengan menggunakan platform dalam talian juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

"Jawi nak hidupkan masjid, surau dan surau Jumaat bergantung kepada pelaksanaan atau penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya.

"Kita tidak tahu apa akan berlaku dalam tempoh sebulan dua akan datang, tetapi kita perlu bersedia.

"Kita sudah ada radio, platform online dan Insya-Allah kita akan tambah satu lagi saluran dengan kerjasama badan bukan kerajaan dan Yayasan Ihtimam Malaysia untuk memberi ilmu dalam bentuk digital, sesuai dengan norma baharu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 8:07 AM