Mohd Ajib (tengah) memberikan taklimat kepada imam ratib dan pembantu bilal di JAWI baru-baru ini. Foto ihsan JAWI
Mohd Ajib (tengah) memberikan taklimat kepada imam ratib dan pembantu bilal di JAWI baru-baru ini. Foto ihsan JAWI
Yusmizal Dolah Aling

TINGKAT kemahiran bacaan al-Quran, penyampaian azan, khutbah serta hukum Islam menjadi antara 'tugasan' untuk imam ratib, pembantu bilal masjid dan surau Jumaat di Lumpur selepas mereka menerima tauliah pelantikan baru-baru ini.

Selain itu, mereka juga berperanan menjaga nama baik institusi masjid dan surau di kariah masing-masing dalam usaha mengembangkan syiar Islam seperti yang dituntut dalam agama.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata, seramai 11 orang imam ratib dan 10 orang pembantu bilal akan menjadi duta kepada konsep RAHMAH dan meningkatkan fungsi masjid sebagai pusat sehenti kepada masyarakat setempat.

"Selain daripada tugas mereka iaitu mengimamkan solat fardu, solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri serta Aidiladha.

“Mereka akan bertugas mengikut jadual yang ditetapkan, menyampaikan khutbah, aktiviti mengimarah dan kebajikan serta pengurusan jenazah, mereka juga perlu mempertingkatkan kemahiran sedia ada.

"Kita mahu suburkan budaya ke masjid dan antara elemen yang dikenal pasti termasuklah penyampaian khutbah, laungan azan serta bacaan yang baik oleh imam ini boleh menarik anak kariah untuk hadir.

“Insya-Allah, ia akan menjadi ikutan nanti," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Ajib berkata, pelantikan rasmi itu akan bermula 1 Januari nanti hingga 31 Disember 2022 dan pihaknya berharap ia akan menjadi pemangkin semangat untuk mereka menjalankan tugas dengan baik sesuai dengan saranan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 4:42 PM