- Foto hiasan
- Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas pertuduhan pecah amanah sebanyak RM600,000 milik sebuah syarikat.

Tertuduh, Nor Haslinda Ramli, 37, dan Mohd Firdaus Sani Mohd Johari, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di kamar berasingan.

Mengikut kertas pertuduhan, Nor Haslinda yang berkhidmat sebagai ketua juruwang yang diamanahkan wang harta syarikat melakukan pecah amanah membabitkan nilai jumlah RM600,000 dengan cara memindahkan wang bagi kegunaan sendiri.

Selain itu, tertuduh juga memasukkan wang ke dalam akaun suaminya yang bukan kakitangan syarikat berkenaan.

Pertuduhan Nor Haslinda dibacakan di hadapan Hakim, Datin Sabariah Othman dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zahrinan.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan sebat serta denda.

Mahkamah kemudian membenarkan Nor Haslinda diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan 18 Mac hadapan untuk perbicaraan semula.

Sementara itu, di kamar berasingan Mohd Firdaus turut didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Nor Haslinda melakukan pecah amanah terhadap wang syarikat terbabit berjumlah RM600,000.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dari enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun dan dikendalikan Nurul Khairiyah Samsuddin.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Firdaus diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan tarikh 18 Mac ini sebagai perbicaraan.

Kedua-dua individu berkenaan diwakili peguam bela, Datuk Ahmadzaharil Muhaiyar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 9:07 PM