Abdullah Sani diiringi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan pecah amanah sebanyak RM246,600. FOTO Shahrizal Md Noor
Abdullah Sani diiringi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan pecah amanah sebanyak RM246,600. FOTO Shahrizal Md Noor
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Bekas penasihat peribadi dan kewangan sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM246,600 sejak 2014.

Bagaimanapun, Abdullah Sani Ismail, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Abdullah Sani didakwa pecah amanah apabila mengambil sewaan bangunan di alamat No 22, Jalan Bayu Mutiara 1, Taman Bayu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang milik Che Rozmey Che Din sebanyak RM97,000 antara 5 September hingga 5 Disember 2014.

Pertuduhan kedua, dia didakwa pecah amanah dengan mengambil sewaan bangunan sama sebanyak RM88,000 antara 20 Mac 2015 hingga 28 Disember 2015.

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa pecah amanah dengan mengambil sewaan bangunan sama sebanyak RM88,000 antara 19 Januari 2016 hingga 8 Julai 2016.

Semua kesalahan itu dilakukan di Syarikat Herba Prima Marketing, Lot 70, Bandar Darul Aman Jaya, Jitra, dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Mohd Nor manakala tertuduh diwakili peguam, Badrul Hisham.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga dengan seorang penjamin serta dokumen perjalanan diserahkan selain menetapkan 8 Mac depan bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 12:56 PM