Wang tunai berjumlah RM3,500 dirampas polis selepas menahan dua pengedar dadah di sebuah rumah di Desa Mentari, Petaling Jaya, semalam.FOTO IHSAN POLIS
Wang tunai berjumlah RM3,500 dirampas polis selepas menahan dua pengedar dadah di sebuah rumah di Desa Mentari, Petaling Jaya, semalam.FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Kegiatan dua lelaki mengedar dadah terbongkar selepas polis menemui 60 paket dadah jenis heroin dan ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Desa Mentari di sini, semalam.

Suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerusi Op Tapis yang dijalankan bagi membanteras aktiviti penjualan dan penagihan dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, operasi dengan kekuatan 11 pegawai dan anggota itu dilakukan bermula jam 7.30 pagi hingga 11 malam.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, polis menyerbu rumah berkenaan dan menahan suspek berusia 22 dan 38 tahun itu pada jam 9.40 malam.

"Pemeriksaan dalam rumah menemui 50 paket plastik lutsinar disyaki heroin anggaran berat 66 gram dan 10 paket plastik lutsinar ganja (40 gram) membabitkan nilai rampasan RM4,310," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,500.

"Hasil analisa mendapati dadah berkenaan boleh dibekalkan kepada kira-kira 106 penagih," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 April untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi sama, Mohamad Fakhrudin berkata, polis turut menahan 14 penagih termasuk seorang warga asing berusia antara 17 hingga 46 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah.

Beliau berkata, kesemua ditahan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan dadah dalam operasi itu adalah sebanyak 66.3 gram heroin, syabu (75 gram), ganja (40.4 gram) dan eramin (1.90 gram).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 4:37 PM