Orang awam melakukan ujian saringan Covid-19. FOTO Aswadi Alias
Orang awam melakukan ujian saringan Covid-19. FOTO Aswadi Alias
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seramai 259 individu sudah menjalani ujian saringan selepas menjadi kontak rapat kepada 41 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebuah sekolah asrama di Machang yang disahkan positif Covid-19 semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, semua individu yang disaring itu terdiri daripada pelajar serta ibu bapa yang menjadi kontak rapat kepada mereka yang disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, ujian saringan hari iini menunjukkan pertambahan 23 individu disahkan positif Covid-19, berbanding 41 individu dilaporkan semalam.

"Jangkitan wabak ini berpunca daripada komuniti yang mungkin mana-mana di antara mereka berhubung rapat dengan individu positif Covid-19 sebelum pelajar dibenarkan masuk ke asrama untuk menjalani Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sebagai persediaan untuk menduduki SPM.

"Bagaimanapun, kita tidak perlu bimbang kerana wabak ini terkawal," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, semua pelajar terbabit dibawa ke pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) selepas disahkan positif.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kes calon SPM berkenaan yang disahkan positif Covid-19 adalah kontak kepada Kluster Pangkal Changgong yang membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Kluster Pangkal Changgong yang mula dikesan pada 10 Februari lalu membabitkan sebuah pusat pengajian di Pangkal Changgong dan penularannya dikesan tiga daerah setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 1:22 PM