GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Tiga lagi kluster baru dikesan di negeri ini menjadikan enam kluster keseluruhan membabitkan institusi pendidikan yang diisytiharkan dan masih lagi aktif.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, kluster berkenaan adalah Kluster Jalan Pantai Cunningham dan Kluster Paya Utama masing- masing di Port Dickson serta Kluster Bukit Merbah, di sini.

"Kluster Jalan Pantai Cunningham, diisytiharkan pada 19 Januari lalu membabitkan pelajar yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abd Samad, Port Dickson, namun tidak membabitkan pelajar luar atau guru.

"Ia bermula apabila pelajar yang bergejala didapati positif Covid-19. Sehingga 11 pagi semalam, seramai 116 individu disaring dan sebanyak 11 kes positif dilaporkan manakala 83 negatif dan 22 lagi masih menunggu keputusan," katanya ketika dihubungi.

Veerapan berkata, bagi Kluster Paya Utama, sebanyak 22 kes positif Covid-19 dilaporkan membabitkan penuntut di asrama Kolej Vokasional Port Dickson, namun tiada penuntut luar atau pensyarah dilaporkan bergejala.

"Kluster ini bermula apabila seorang pelajar lelaki yang tinggal di asrama bergejala. Sehingga 11 pagi semalam, seramai 122 kontak rapat penuntut asrama kolej terbabit sudah disaring

"Sebanyak 22 kes positif Covid-19 dikesan manakala 99 lagi dikesan negatif dan seorang lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, seramai 38 kes disahkan positif Covid-19 bagi Kluster Bukit Merbah membabitkan SMK Dato Sheikh Ahmad, di sini.

"Seramai 104 individu dikenal pasti sebagai kontak rapat membabitkan pelajar yang tinggal di asrama sekolah. Sebanyak 137 pelajar disaring dan 38 daripadanya disahkan positif Covid-19," katanya.

Semalam, Kluster Bukit Chengkau Ulu di Rembau diumumkan membabitkan Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Rembau.

Terdahulu, dua kluster pendidikan turut dilaporkan di negeri ini iaitu Kluster Jalan Sikamat yang membabitkan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir di sini dan Kluster Jalan Ban Aik 2 yang membabitkan Sekolah Menengah Agama Nilai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 3:51 PM