FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Lelaki Syria berusia 30-an dan tujuh ahli keluarganya kini diburu polis disyaki pemilik objek didakwa bom tangan ketika menginap di hotel di Batu 5, Jalan Pantai, di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Adzli Abu Shah, berkata pihaknya menerima aduan hotel berkenaan mendakwa menemui objek itu ketika membersihkan bilik, pada kira-kira 12 tengah hari ini.

Katanya, objek berkenaan ditemui selepas pekerja hotel memasuki bilik itu ketika lelaki Syria itu mendaftar keluar.

“Sebaik tilam diangkat, pekerja terbabit ternampak objek dipercayai bom tangan. Dia memaklumkan majikannya menyebabkan panggilan dibuat kepada polis," katanya.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit kemudiannya kembali ke bilik hotel dan mengambil objek itu.

“Lelaki asing dan ahli keluarganya meninggalkan hotel dengan menaiki kereta," katanya.

Adzli berkata, sepasukan anggotanya ke lokasi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Polis mengambil langkah berjaga-jaga bimbang ia berkaitan Daesh. Sehingga ini, polis masih memburu lelaki Syria terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 5:49 PM