Nor Amalina Alias


Bachok: Satu mayat lelaki yang tinggal rangka ditemukan terdampar di pesisir Pantai Kuala Kandis, di sini, hari ini.

Tiada pengenalan diri ditemukan dan mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 10 hari berdasarkan keadaannya yang tinggal tulang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu daripada orang awam pada 9.17 pagi.

Katanya, orang awam itu memaklumkan dia menemui mayat berkenaan pada 8.03 pagi dengan jarak 20 meter dari pesisir pantai.

"Mangsa hanya berseluar pendek hitam dan kita tidak dapat menentukan umur mangsa kerana keadaan mayat sudah mereput.

"Siasatan awal tidak menemui sebarang pengenalan diri pada badan mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

SATU mayat lelaki yang tinggal rangka ditemui terdampar di pesisir pantai di Kuala Kandis, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
SATU mayat lelaki yang tinggal rangka ditemui terdampar di pesisir pantai di Kuala Kandis, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias

Mohd Yusrizal berkata, siasatan pihak forensik tidak menemui sebarang unsur jenayah atau senjata pada mangsa.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya, sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga supaya membuat laporan di balai polis berdekatan.

"Penemuan mayat lelaki ini menjadikan mayat ketiga ditemui di pesisir pantai daerah Bachok selepas penemuan mayat wanita dan lelaki pada 2 Februari dan 14 Januari, tahun ini.

"Dua mayat itu belum dituntut dan kami menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan semua mayat yang tinggal rangka itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 3:39 PM