ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengesan dua lagi mangsa dipercayai lemas di Pulau Kambing berdekatan Pantai Kandis, Bachok, hari ini. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengesan dua lagi mangsa dipercayai lemas di Pulau Kambing berdekatan Pantai Kandis, Bachok, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Nor Amalina Alias

,

Bachok: Seorang lelaki ditemui lemas manakala dua lagi masih hilang dalam kejadian di Pulau Kambing berdekatan Pantai Kandis, di sini, petang hari ini.

Dalam kejadian pada 6.53 petang, mangsa, Mohd Bahudin Mat Shah, 46, dipercayai lemas bersama dua lagi ahli keluarga iaitu dua remaja lelaki.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 7.15 malam mengatakan terdapat tiga mangsa lemas di pantai berkenan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bagi mengesan dua lagi mangsa.

"Operasi SAR disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Setakat ini, mangsa pertama ditemui itu beralamat di Kuantan, Pahang, manakala identiti dua lagi mangsa belum dikenal pasti," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Yus Heary Mahmud berkata, operasi SAR mencari dua lagi mangsa disertai BBP Tok Bali, Bachok serta Unit Skuba dengan membabitkan 20 orang termasuk pegawai dan anggota.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Roslan Ismail dan turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 10:21 PM