ANGGOTA penguatkuasa MDKS dengan kerjasama IPD Kuala Selangor menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran di tiga lokasi berasingan di daerah ini dalam Operasi Bersepadu. FOTO IHSAN MDKS
ANGGOTA penguatkuasa MDKS dengan kerjasama IPD Kuala Selangor menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran di tiga lokasi berasingan di daerah ini dalam Operasi Bersepadu. FOTO IHSAN MDKS
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Terpaksa mengejar dan menangkap lembu serta kambing yang berkeliaran tanpa pemilik di kawasan awam.

Itu cabaran dilalui kakitangan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bagi menangani isu haiwan ternakan yang dilepaskan kawasan awam dan dibiarkan berkeliaran tanpa bertuan.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS, Jefriee Abdul Manaf berkata, pihaknya terpaksa melakukan operasi bersepadu bermula 10 pagi semalam di sekitar Bestari Jaya, Jeram dan Ijok di sini.

Menurutnya, sebanyak dua ekor lembu dan lapan ekor kambing ditangkap selepas dikesan berkeliaean di jalan dan kawasan perumahan.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua individu gagal mengawal lembu ternakan mereka yang berkeliaran di Jalan Raja Abdullah, di sini.

"Berikutan itu, kami mengeluarkan kompaun ke atas mereka mengikut Seksyen 5 (1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971. Mereka denda maksimum RM1,000 atau boleh dihukum penjara tidak lebih 12 bulan jika sabit kesalahan," katanya semalam.

Beliau berkata, tujuan utama operasi dilakukan bagi mencegah haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan kerbau tidak berkeliaran di kawasan awam serta membahayakan pengguna jalan raya.

Kata Jefriee, Seksyen 13 enakmen sama turut memberi kuasa kepada pihaknya untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pesalah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik atau penjaga haiwan ternakan supaya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 6:50 PM