GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kemalangan membabitkan kes terlanggar kerbau dan lembu adalah di luar bidang kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pemilik haiwan ternakan itu.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, isu haiwan ternakan berkeliaran tanpa pengawasan pemilik bukan perkara baharu, malah ia sering dibincangkan di peringkat majlis.

Menurutnya, enakmen undang-undang kecil penternakan lembu dan kerbau masih terpakai di daerah Sepang kerana masih terdapat banyak kawasan pertanian.

Katanya, MPSepang berhadapan sedikit kekangan berkaitan isu binatang ternakan ini dan melalui bancian diadakan terdapat kira-kira 80 kandang haiwan di daerah ini.

"Pengawalan binatang ternakan ini sepatutnya menjadi tanggungjawab pemilik dan pengusaha namun terdapat juga yang terlepas serta berkeliaran di Cyberjaya," katanya.

Semalam media melaporkan, seorang pelajar lelaki maut akibat merempuh seekor kerbau di Jalan Dengkil Air Hitam, Dengkil.

Abd Hamid berkata, sebelum ini pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Veterinar (JV) bagi menentukan pihak mana yang sepatutnya mengawal dan mengenakan tindakan ke atas pemilik yang sengaja membiarkan ternakan mereka berkeliaran.

Menurutnya, dalam isu ini terdapat dua senario, sekiranya haiwan ternakan itu berkeliaran dan masuk ke kawasan bandar serta taman perumahan, ia di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama JV.

Kata Abd Hamid, bagi kes binatang ternakan yang memasuki kawasan kampung pula, ia tindakan di bawah Pejabat Daerah dan JV berikutan penternakan dikategorikan dalam bidang pertanian.

"MPSepang akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dengan semua pihak terbabit bagi mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 4:46 PM