PROJEK Impian Remaja diusahakan bersama sekumpulan penuntut sarjana daripada UKM Graduate School of Business.
PROJEK Impian Remaja diusahakan bersama sekumpulan penuntut sarjana daripada UKM Graduate School of Business.
BERNAMA

Putrajaya: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini melancarkan Projek Impian Remaja yang bermatlamat untuk mengumpulkan seberapa banyak penyumbang bagi membantu remaja daripada kelompok B40 agar berupaya memperbaiki kehidupan mereka menjadi lebih baik dan bermakna pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya berkata, langkah proaktif UKM yang diusahakan bersama sekumpulan penuntut sarjana daripada Graduate School of Business, UKM akan mengumpulkan seberapa banyak penyumbang daripada sektor korporat dan individu bagi merealisasikan impian remaja berkenaan.

"Segala sumbangan yang diterima akan digunakan untuk membantu remaja yang memerlukan seperti membiayai keperluan asas, pendidikan, kesihatan dan lain-lain," katanya ketika merasmikan Projek Impian Remaja itu secara dalam talian hari ini.

Muslimin berkata, pembangunan remaja tidak akan berjaya tanpa sokongan dan penglibatan keluarga dan masyarakat namun tidak semua keluarga mampu memberikan sokongan sedemikian terutama keluarga dalam kelompok B40.

Katanya, ibu bapa daripada golongan itu biasanya terpaksa menghabiskan banyak masa di luar rumah untuk meningkatkan pendapatan bagi menyara kehidupan keluarga.

"Dalam usaha memperkasakan remaja, saya melihat perlunya sokongan daripada pihak swasta, badan bukan kerajaan, badan korporat termasuk orang perseorangan untuk turut sama menyumbang kepada projek pembangunan remaja ini," katanya.

Pada majlis tersebut, Muslimin turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada projek Impian Remaja.Turut menyumbang pada majlis pelancaran hari ini adalah Kajang Plaza Medical Centre, Atomy Malaysia, Export Import Bank dan Yayasan Food Bank.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 3:35 PM