TIGA beradik lemas di sebuah kolam ikan di Kampung Bintang Mas. FOTO ihsan pembaca
TIGA beradik lemas di sebuah kolam ikan di Kampung Bintang Mas. FOTO ihsan pembaca
Hazsyah Abdul Rahman


TIGA beradik ‘pergi’ bersama akibat lemas ketika mandi di sebuah kolam ikan di Kampung Bintang Mas, Beluran, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, kanak-kanak lelaki terbabit masing-masing berusia antara 6 hingga 10 tahun.

Difahamkan, tiga beradik itu bersama beberapa rakan mandi di kolam ikan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka.

Bapa saudara mangsa, Muslimin Mohd Yahya, 32, kanak-kanak itu sebenarnya tidak pernah mandi di kolam ikan terbabit.

“Kolam ikan itu sudah lama terbiar dan semak. Kami pun hairan kenapa mereka tiba-tiba mandi di sana.

“Ibu bapanya juga tidak tahu yang mereka mandi bersama rakan dan tiba-tiba seorang rakan berlari ke rumah serta memaklumkan kepada bapa mangsa bahawa ketiga-tiganya lemas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muslimin berkata, bapa mangsa segera ke lokasi kejadian dan mendapati ketiga-tiga anaknya sudah terapung di kolam berkenaan.

“Sebaik tiba, tiga beradik itu dilihat dalam keadaan terapung sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid.

“Bagaimanapun, ketiga-tiganya kemudian disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Dia berkata, kejadian itu memberi kejutan kepada mereka sekeluarga apatah lagi membabitkan tiga beradik sekali gus.

“Kejadian ini bukan saja memberi kejutan kepada kami sekeluarga malah bagi kedua ibu bapa mangsa.

“Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Pangiran, di Sungai Sapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 11:47 AM