Pegawai polis bersama penguatkuasa lain memberikan penerangan mengenai pematuhan SOP. Foto/Ihsan Pejabat Daerah Padang Terap
Pegawai polis bersama penguatkuasa lain memberikan penerangan mengenai pematuhan SOP. Foto/Ihsan Pejabat Daerah Padang Terap
Noorazura Abdul Rahman

Padang Terap: Penularan kes Covid-19 di Felda Lubuk Merbau dekat sini membimbangkan penduduk, sekali gus menyebabkan pihak berkuasa tempatan mengambil langkah pengawalan lebih awal.

Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman berkata, setakat ini tujuh kes positif dilaporkan dalam kalangan penduduk dan dianggap serius kerana lokaliti itu mempunyai 6,000 penduduk yang membabitkan 1,300 rumah.

Justeru katanya, pihaknya bersama pelbagai agensi mengambil langkah pengawalan termasuk memastikan penduduk tidak keluar rumah sesuka hati mahupun melanggar prosedur operasi standard (SOP) selain bantuan makanan dan kesihatan dibekal segera.

"Terdapat sebuah keluarga di kawasan itu disahkan positif Covid-19 semalam dan mereka sudah dihantar bagi mendapat rawatan di Hospital Kuala Nerang, manakala lapan ahli keluarga lain dikuarantin di rumah.

"Jadi seramai 90 anggota penguat kuasa MDPT (Majlis Daerah Padang Terap), polis, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta agensi lain sudah melakukan operasi bersepadu agar penduduk tidak keluar rumah sesuka hati dan mematuhi SOP," katanya ketika ditemui di Pejabat MDPT di sini, hari ini.

Md Shuhaime berkata, penduduk Felda Lubuk Merbau yang terjejas akan mendapat bantuan makanan dan boleh memohon bantuan barangan lain yang diperlukan.

"Kita tidak mahu mereka lapar, mereka boleh hubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) atau penghulu. Kita ada SOP, sekurang-kurangnya penduduk akan dapat sekampit beras selepas permohonan dibuat.

"Jika ada yang terputus bekalan ubat dan sukar diperoleh di daerah ini, kita akan bantu mendapatkan bekalan di tempat lain, dan bantuan kita tidak terhad kepada makanan sahaja, ada kes keluarga memerlukan lampin pakai buang pun kita hantar," katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Felda Bersia, Hulu Perak dan Felcra Nasaruddin di Perak Tengah mulai hari ini yang sekali gus mendatangkan kebimbangan penduduk sekiranya perintah sama dikenakan di Felda Lubuk Merbau.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 3:57 PM