GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


Padang Terap: Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) melancarkan Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 yang pertama di negeri ini untuk kemudahan orang ramai terutama warga emas mendapatkan vaksinasi.

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, unit bergerak disertai doktor, jururawat, kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri, polis dan petugas keselamatan akan masuk ke kampung-kampung bagi memberikan suntikan vaksin.

Katanya, penduduk terbabit tidak lagi perlu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana semua kelengkapan termasuk vaksin Covid-19 akan dibawa ke lokasi ditetapkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Unit bergerak ini tidak akan pergi rumah ke rumah, sebaliknya distesenkan sementara di kampung tertentu dan mampu memberi vaksin kepada 50 hingga 60 orang mengikut yang sudah ditetapkan.

"Kakitangan kesihatan akan berada di kampung mengikut masa ditetapkan dan petugas keselamatan akan memantau penduduk dalam memastikan SOP dipatuhi," katanya pada sidang media di PPV Dewan Tunku Putra, di sini, hari ini.

Sehingga kini, hampir 5,000 daripada 16,000 individu yang berdaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 di Padang Terap sudah mendapat suntikan masing-masing dan jumlah itu dijangka meningkat dalam tempoh dua bulan ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, inisiatif pelaksanaan unit bergerak ini dibuat bagi mempercepat proses pemberian vaksin selepas pihaknya menjangkakan lebih banyak dos akan dihantar ke daerah itu.

"Ketika ini kita hanya mempunyai tiga PPV iaitu di Dewan Tunku Putra, Naka dan Lubuk Merbau sahaja. Jika ada unit bergerak, maka proses pemberian vaksin dapat dipercepat dan penduduk tidak perlu bergerak jauh ke PPV.

"Kita menjangkakan menjelang Ogos ini, peratusan individu yang sudah mendapat suntikan vaksin adalah lebih tinggi di daerah ini. Disebabkan itu, orang ramai diharap dapat memberi kerjasama apabila diminta hadir bagi menerima suntikan," katanya.

Difahamkan, Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Padang Terap akan memulakan proses pemberian vaksin di Kampung Padang Nyior, di sini, mulai esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 3:35 PM