FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Essa Abu Yamin


Muar: Majlis Perbandaran Muar (MPM) mengeluarkan notis semua pekerja asing di seluruh daerah ini tidak dibenarkan keluar dari lingkungan asrama dan kilang serta-merta mulai hari ini.

Yang Dipertua MPM Jamil Hasni Abdullah berkata, pelaksanaan larangan berkenaan bagi mencegah penularan jangkitan wabak Covid-19 di Muar yang semakin meningkat dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

"Perintah kawalan berkenaan berkuatkuasa kepada semua sektor pembinaan, peruncitan, perladangan dan lain-lain sektor yang melibatkan tenaga kerja warga asing

"Sebarang keperluan hendaklah diurus sepenuhnya oleh majikan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, kesemua amalan standard prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan mesti dilaksanakan dengan sempurna.

"Kesemua majikan juga dikehendaki memastikan tiada sebarang aktiviti penjaja oleh mana-mana warga tempatan sama ada di luar mahupun di dalam perkarangan kilang dan asrama.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana majikan yang gagal memastikan arahan berkenaan," katanya.

Katanya, sebarang pelanggaran arahan bakal dikenakan tindakan penguatkuasaan dibawah Seksyen 72(1)(f), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Terdahulu, sehingga semalam Johor mencatat jumlah kes positif Covid-19 harian tertinggi di Malaysia sebanyak 1069 kes, manakala daerah Muar mencatat kes positif Covid-19 tertinggi di Johor sebanyak 538 kes membabitkan kluster tempat kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:41 PM