GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Pergerakan pekerja industri ke zon merah antara punca utama peningkatan kes Covid-19 di negeri ini sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi semalam iaitu 1,103 kes baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,043 adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

Katanya, jumlah kes yang tinggi dan mendadak adalah susulan saringan sukarela yang dijalankan pihak majikan kepada pekerja warga asing bermula Disember lalu.

"Berdasarkan siasatan di lapangan, Jabatan Kesihatan mendapati punca utama penularan kes baharu dalam kalangan pekerja industri disebabkan pergerakan mereka ke zon merah di luar Johor serta ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang diperkenalkan.

"Penempatan warga asing yang tidak mematuhi SOP, sentiasa sesak dan sempit juga didapati menyumbang kepada penularan yang cepat.

"Sebaik saja Jabatan Kesihatan mengenalpasti lokasi industri yang melaporkan kes positif tinggi, tempat tinggal mereka (asrama) akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengawal penularan ke dalam komuniti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, sehingga semalam, terdapat tiga asrama pekerja asing diletakkan di bawah PKPD iaitu Asrama Westlite di Johor Bahru, Asrama Westlite 1 dan Westlite 2 di Kulai serta Asrama Kejora Juara, Bukit Pasir, di Muar.

Katanya, Kluster Senai Murni adalah kluster baharu membabitkan kluster tempat kerja di daerah Kulai, selain kes bagi kluster itu dilaporkan positif Covid-19 bermula 31 Disember lalu menerusi saringan bersasar di tempat kerja dan sehingga semalam, seramai 190 individu disaring, 66 daripadanya dikesan positif.

Dalam pada itu, katanya, kumulatif kes positif Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 9,002 kes dengan 3,751 daripadanya pulih, selain sebanyak 5,212 kes yang aktif diasingkan dan diberi rawatan di hospital dengan kumulatif kematian setakat ini adalah sebanyak 39 kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 12:37 PM