Mohd Amin Jalil


Nilai: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kilang atau majikan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan walaupun mereka dibenarkan beroperasi ketika Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, walaupun mereka mendapat kelulusan beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), namun itu tidak bermakna mereka boleh berbuat sesuka hati.

"Peranan kita (KSM) adalah menjalankan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan atau kilang yang tidak ikut arahan kerajaan dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dikuatkuasakan.

"Walaupun kami (KSM) tidak duduk dalam jawatankuasa di bawah Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0, tapi kami boleh ambil tindakan.

"Perlu saya tegaskan KSM tidak pernah membatalkan penguatkuasaan Akta 446, sebaliknya usaha dilakukan untuk memperketatkannya bagi memastikan tahap pematuhan oleh majikan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan operasi pematuhan Akta 446 di kilang Corrugated Offset Packaging (M) Sdn Bhd, di Kawasan Perindustrian Arab Malaysian di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, sejak 1 Februari lalu hingga semalam, pihaknya sudah menjalankan sebanyak 19,010 operasi membabitkan 106,597 pusat penginapan pekerja.

Saravanan (dua dari kiri) ketika meninjau asrama pekerja dalam operasi pematuhan Akta 446 dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan di sebuah kilang pembungkusan di Taman Perindustrian Arab Malaysian. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Saravanan (dua dari kiri) ketika meninjau asrama pekerja dalam operasi pematuhan Akta 446 dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan di sebuah kilang pembungkusan di Taman Perindustrian Arab Malaysian. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Beliau berkata, susulan daripada itu, sebanyak 742 kertas siasatan telah dibuka terhadap majikan yang didapati gagal mematuhi Akta 446 dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 125 kertas siasatan dibawa ke mahkamah dan 49 kes telah diselesaikan dengan jumlah denda yang dikenakan sebanyak RM352,000.

"Selain itu, sebanyak 265 kertas siasatan lagi diberi izin kompaun yang membabitkan tawaran kompaun berjumlah RM2.3 juta terhadap majikan yang melakukan kesalahan di bawah Akta 446," katanya.

Berhubung isu kehadiran pekerja ketika SPP, beliau berkata, sejak 25 Mei lalu hingga semalam, pihaknya menerima 1,120 aduan membabitkan majikan memaksa pekerja termasuk bekerja lebih masa dan sebagainya.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan melakukan kesalahan itu termasuk disaman.

"Perkara ini sudah dikuatkuasakan dan majikan diingatkan tidak cuba mengambil kesempatan sebaliknya perlu patuh dengan peraturan yang ditetapkan," katanya.

Mengulas mengenai penularan wabak Covid-19 dalam kalangan sektor perkilangan susulan wujudnya beberapa kluster industri, Saravanan berkata, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengambil langkah proaktif dalam mengawal penularan wabak menerusi program vaksinasi.

"Jika berlaku wabak di dalam kilang ia mudah dikawal kerana pekerja hanya berada dalam kawasan operasi kilang, namun kes membabitkan luar kawasan kilang atau komuniti masyarakat juga turut membimbangkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak industri dan syarikat turut sama memainkan peranan untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 susulan situasi sekarang yang semakin meruncing.

"Usaha memutuskan rantaian Covid-19 memerlukan komitmen semua pihak bukan saja KKM dan kerajaan dan perkara itu tidak akan berjaya sekiranya tiada sokongan daripada semua lapisan masyarakat termasuk pemain industri dan majikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 4:16 PM