POKOK bakau. FOTO bernama
POKOK bakau. FOTO bernama
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri menzahirkan sokongan dan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar terutama di pesisiran pantai di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, hasrat TNB menanam 1,000 pokok bakau di Chuah, Port Dickson, dekat sini, bagi tempoh setahun bermula Januari ini amatlah dihargai.

"Terima kasih diucapkan kepada pihak TNB yang menyasarkan menanam 1,000 anak pokok bakau di Chuah.

"Saya difahamkan bahawa usaha ini bakal dijalankan bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) bermula Januari tahun ini sehingga Januari 2022.

"Penanaman pokok terbabit bakal memberikan pelbagai manfaat yang besar kerana berupaya menjadi pelindung pesisiran pantai dan juga habitat buat hidupan liar.

"Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada sektor swasta dalam memelihara dan memulihara alam sekitar," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Omar Sidek dalam kenyataannya berkata, projek itu dilaksanakan secara usaha sama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

Omar berkata, projek berkenaan bukan sahaja mampu memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), malah turut membantu menyelesaikan isu alam sekitar di samping memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan hidupan liar.

Aminuddin berkata, alam sekitar adalah khazanah yang tidak ternilai dan menjadi tanggungjawab semua pihak sama ada kerajaan, swasta mahupun orang awam, untuk sama-sama memuliharanya.

"Semua pihak memainkan peranan penting untuk pemuliharaan alam sekitar kerana ia khazanah yang akan diwariskan kepada generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 5:08 PM