Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Empat individu yang berjaya curi masuk ke daerah ini dari Kubang Pasu tanpa surat kebenaran polis menggunakan jalan kampung ke daerah ini dikompaun ketika hendak pulang semula ke daerah itu, hari ini.

Dua penunggang motosikal dan dua individu dalam sebuah kereta itu dikompaun RM1,000 selepas polis berjaya mengesan pergerakan mereka dan didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua mereka terdiri dari seorang wanita dan tiga lelaki berusia antara 25 hingga 56 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mereka menggunakan laluan kampung di kawasan sempadan Kubang Pasu dari Sungai Korok, Jitra ke Gunung Keriang, di sini sebelum ditahan secara berasingan oleh polis.

Beliau berkata, merentas daerah hanya dibenarkan sekiranya mempunyai surat kebenaran polis sahaja dengan mempunyai alasan yang munasabah.

"Semalam, kita mengeluarkan empat kompaun terhadap individu yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan hari ini empat kompaun kerana merentas daerah.

"Kesemua lapan individu terbabit kompaun mengikut Seksyen 22 (b) Akta 342 dan Peraturan 13 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) (no 9) 2020," katanya ketika ditemui sewaktu melakukan pemantauan di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Mengenai pemantauan di terminal feri itu, Ahmad Shukri berkata, kadar pematuhan orang ramai hari ini memuaskan dan semua mereka menunjukkan surat kebenaran polis, malah ada yang datang dari Kuala Lumpur ke pulau Langkawi.

Beliau berkata, Terminal Feri Kuala Kedah adalah lokasi sempadan untuk pelancong ke Pulau Langkawi dan pemeriksaan dilakukan dalam memastikan tidak ada yang merentas daerah tanpa kebenaran polis.

"Di sekatan jalan raya (SJR) pula, sebanyak 68 kenderaan diarah berpatah balik hari pertama semalam dan hari ini kerana tidak mempunyai surat kebenaran polis.

"Semalam, 36 kenderaan dan hari ini 32 kenderaan diarah berpatah balik ketika melalui SJR malah mereka tidak mempunyai sebarang alasan untuk merentas daerah dan negeri," katanya.

Ahmad Shukri menasihatkan orang ramai supaya menggunakan surat kebenaran majikan atau polis yang baharu sekiranya untuk merentas ke daerah ini.

Beliau berkata, penggunaan surat kebenaran lama tidak dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 7:00 PM
Polis melakukan pemeriksaan terhadap penumpang yang mempunyai surat kebenaran polis sebelum dibenarkan menaiki feri di Terminal Feri Kuala Kedah bagi mengelak ada yang mengambil kesempatan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Polis melakukan pemeriksaan terhadap penumpang yang mempunyai surat kebenaran polis sebelum dibenarkan menaiki feri di Terminal Feri Kuala Kedah bagi mengelak ada yang mengambil kesempatan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI