GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis akan melakukan pemeriksaan mengejut di lokasi tertentu di daerah ini bagi memastikan orang ramai tidak 'curi-curi' balik kampung dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sempena Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, setakat ini hanya ada tiga sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini, namun pemeriksaan mengejut akan dilakukan tanpa mengira waktu.

"Aktiviti merentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali yang mempunyai surat kebenaran polis.

"Setakat ini, tiada lagi pemandu kereta yang diarah berpatah balik atau dikompaun kerana mungkin (perantau) yang nak balik itu belum sampai lagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, selain itu penumpang feri di Terminal Kuala Kedah ke Langkawi perlu mempunyai surat kebenaran polis sebelum menaiki feri ke pulau itu.

Katanya, pasukan pemantau Covid-19 akan melakukan pemeriksaan mengejut di dalam feri untuk memastikan orang ramai menaiki feri dengan surat kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 4:28 PM