ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan kenderaan di SJR bergerak berhampiran Jalan Muzium Padi dan dua individu ditahan kerana merentas daerah tanpa surat kebenaran polis. FOTO ihsan PDRM
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan kenderaan di SJR bergerak berhampiran Jalan Muzium Padi dan dua individu ditahan kerana merentas daerah tanpa surat kebenaran polis. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang lelaki dan wanita masing-masing dikompaun RM5,000 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana merentas daerah tanpa surat kebenaran polis di Jalan Gunung Keriang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mereka ditahan ketika memandu kereta berasingan pada 7 petang.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, lelaki berusia 26 tahun manakala wanita berusia 22 tahun dari Jitra itu gagal memberi sebarang alasan munasabah dan mengemukakan sebarang dokumen kebenaran rentas daerah untuk memasuki daerah Kota Setar.

"Mereka ditahan pasukan Pemantau OP Covid dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang ketika itu sedang melakukan sekatan jalan raya (SJR) bergerak (pemeriksaan mengejut) pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP di kawasan itu.

"Kompaun dikeluarkan di bawah Perkara 4 dan 5 Peraturan Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan) (No 4) (Pindaan) (No 15) 2021)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, pasukan pemantau OP Covid IPD Kota Setar akan meneruskan pemeriksaan melalui SJR bergerak di semua lokasi atau laluan tikus memasuki daerah ini dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 11:43 AM