Keadan di SJR dihadapan Taman Sornam, Bahau. FOTO ABNOR HAMIZAM
Keadan di SJR dihadapan Taman Sornam, Bahau. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol : Ketika kebanyakan bandar utama seluruh negara lengang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), situasi sebaliknya berbeza di Bahau di sini, apabila orang ramai berpusu-pusu memasuki bandar berkenaan tanpa tujuan pasti.

Kebanyakan mereka seolah-olah tidak menghiraukan situasi peningkatan kes Covid-19 susulan kesesakan lalu lintas yang berlaku di bandar ini.

Buktinya, sebaik polis mula membuat sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Taman Sornam di sini, tadi kesesakan luar biasa berlaku sejauh lebih tiga kilometer berikutan tindakan orang yang mahu memasuki bandar Bahau.

Kesesakan itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang menyalahkan pihak polis susulan SJR yang diadakan itu.

Pelbagai komen negatif dilontarkan netizen di media sosial termasuk mempertikaikan kebenaran membuka operasi perniagaan namun orang ramai disekat masuk ke dalam bandar.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pihaknya tetap akan mengadakan SJR di daerah ini sehingga PKP ditamatkan.

Katanya SJR itu diadakan bermula jam 8 pagi hingga 4 petang setiap hari dan orang ramai tidak wajar mempertikaikan tindakan polis mengadakan SJR.

"Berdasarkan Prosedur Operasi Standard ( SOP ) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara ( MKN) orang ramai hanya dibenarkan melakukan pergerakan sejauh 10 kilometer dari kediaman masing - masing dan ia perlu dipatuhi.

"Kebenaran operasi perniagaan seperti kedai dan pasar raya oleh MKN bukan alasan untuk orang ramai datang ke Bahau dengan sewenang - wenangnya," katanya tadi.

Chang Hook berkata, SJR tidak sekadar memastikan pematuhan SOP dan kebenaran rentas daerah malah memantau pergerakan Pendatang Tanpa Izin ( PATI ).

Sementara itu Pegawai Daerah Jempol Syahrul Nizam Saleh berkata, orang ramai diminta mematuhi SOP sedia ada dan hanya keluar rumah bila perlu.

Katanya sepatutnya lebih banyak SJR diadakan namun selepas perbincangan Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah, pihaknya bersetuju supaya SJR diadakan di hadapan Taman Sornam sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 5:46 PM