DR Asmadi Abdul Rahman melawat keluarga Nurul Wahida Abdul Kadir di Kampung Peramu. FOTO Mohd Rafi Mamat
DR Asmadi Abdul Rahman melawat keluarga Nurul Wahida Abdul Kadir di Kampung Peramu. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: "Terima kasih kerana membantu kami sekeluarga yang kini hidup dalam kesusahan selepas saya kehilangan mata pencarian."

Begitu kata ibu tunggal Nurul Wahida Abdul Kadir, 28, yang buntu berhubung nasib dirinya dan lima anak berusia setahun hingga 13 tahun untuk meneruskan kehidupan.

Nurul Wahida berkata, dia amat mengharapkan mendapat bantuan kerana wang simpanan sudah habis dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan harian, sebelum ini.

Menurutnya, keadaan hidup mereka sekeluarga amat perit sejak dia diberhentikan keraja sejak seminggu lalu menyebabkan sumber kewangan terputus.

"Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang banyak membantu kami sekeluarga, bantuan berkenaan tidak pernah diimpikan sebelum ini.

"Selain menyediakan rumah tempat kami berteduh, bantuan kewangan serta keperluan asas setiap bulan turut diterima," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Peramu, di sini, semalam.

Nurul Wahida berkata demikian selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman bagi menyampaikan bantuan segera.

Sementara itu Asmadi berkata, pihaknya akan menyediakan kediaman baharu lebih selesa selain memberi bantuan kewangan dan keperluan asas berupa makanan setiap bulan.

Katanya, MUIP juga akan menguruskan dua anaknya untuk ke sekolah kerana sebelum ini mereka tidak berpeluang ke sekolah walaupun mencapai usia tujuh dan lapan tahun.

"MUIP berharap bantuan yang diberikan dapat mengubah kehidupan keluarga berkenaan, kerana masa depan anak-anaknya yang masih kecil perlu dibela kerana mereka masih tidak memahami erti kesusahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 1:50 PM