SISTEM e-Purse digunakan MUIP untuk kemudahan asnaf . FOTO Mohd Rafi Mamat.
SISTEM e-Purse digunakan MUIP untuk kemudahan asnaf . FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


PENGGUNAAN sistem e-Purse yang diperkenalkan awal tahun lalu memudahkan golongan asnaf di Pahang mendapatkan bantuan baucer bulanan.

Penolong Pegawai Zakat Unit Fakir Miskin Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, sistem itu digunakan bagi menggantikan kupon bantuan barangan sebanyak RM200 sebulan yang disediakan.

Katanya, setiap bulan penerima bantuan terbabit akan mengambil barangan keperluan yang diperlukan di pasar raya ditetapkan di setiap daerah.

Menurutnya, penerima yang berdaftar hanya perlu membawa MyKad setiap kali mengambil barangan, dan kakitangan pasar raya di kaunter bayaran akan membuat semakan dan rekod penerimaan.

"Bagi asnaf yang mengalami masalah kesihatan dan tidak dapat hadir, mereka boleh menghantar wakil bersama MyKad penerima untuk mengambil barangan keperluan diperlukan.

"Kita membenarkan asnaf mengambil semua jenis barangan keperluan harian kecuali kosmetik, makanan haiwan dan peralatan elektrik," katanya hari ini.

Mohd Nasrul Hakim berkata, sistem e-Purse dapat mengelakkan berlaku kehilangan kupon, sekali gus memudahkan penerima.

Katanya, sejak 2016 hingga tahun lalu MUIP menyediakan bantuan baucer barangan kepada 3,150 asnaf membabitkan peruntukan sebanyak RM20.67 juta.

"MUIP sentiasa berusaha membantu golongan asnaf di negeri ini dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan kepada mereka yang layak.

"Mereka yang berhadapan masalah kewangan boleh membuat permohonan di pejabat MUIP," katanya.

Mohd Nasrul Hakim berkata, MUIP menyediakan peruntukan lebih RM14.6 juta bagi membantu 94,785 penerima sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 11:36 AM