ASMADI menyampaikan sumbangan kepada Tera . FOTO Mohd Rafi Mamat
ASMADI menyampaikan sumbangan kepada Tera . FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Jerantut: Bantuan kewangan setiap bulanan disediakan kepada Tera Yusoh, individu tertua di Kuala Tahan, di sini, dengan usia 110 tahun.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya sudah lama memberi bantuan RM500 sebulan kepadanya bagi menampung sara hidup warga emas yang kini tinggal bersama anak serta cucunya di Kampung Belabar, Kuala Tahan.

Katanya, dari masa kesemasa pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) Daerah Jerantut akan datang melawat ke rumahnya sambil bertanya khabar dan mendapat maklumat semasa.

"Walaupun mencapai usia 110 tahun namun tahap kesihatan warga emas itu masih memuaskan. Difahamkan dia cuma hanya menghadapi masalah pernafasan sahaja dan memerlukan alat bantuan pernafasan pada masa tertentu.

"Dia (Tera) boleh berjalan dan menguruskan diri sendiri dan masanya dihabiskan di rumah sahaja bersama anak, cucu dan piut," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, difahamkan wanita berkenaan terkenal dengan panggilan 'Wan' di kalangan penduduk setempat sedang menunggu giliran untuk menerima vaksin Covid-19 dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berkunjung ke rumahnya untuk memberi suntikan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bulan lalu pihaknya memberi bantuan mesin bantuan pernafasan kepada 'Wan' berharga lebih RM8,000.

Menurutnya, mesin bantuan pernafasan diperlukan bagi membantu warga emas itu bernafas pada waktu tertentu, difahamkan paru-paru 'Wan' ada masalah.

"Setiap bulan bantuan RM200 disediakan untuk membeli susu khas bagi kegunaan warga emas berkenaan yang dapat menambah tenaganya.

"MUIP akan terus memantau perkembangan semasa wanita berkenaan yang dianggap istimewa apabila mencapai usia 110 tahun seterusnya menjadi individu tertua di Kuala Tahan dan mungkin di negeri ini," katanya selepas mengunjungi warga emas berkenaan, kelmarin.

Asmadi berkata, pihaknya akan terus memberi bantuan kepada golongan asnaf dan miskin yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bantuan peralatan perubatan turut diberitakan kepada mereka yang berhadapan masalah kesihatan kronik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 11:51 AM