Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh menjadi penyelesaian kekal untuk pandemik Covid-19 yang mungkin berlarutan bertahun-tahun," kata pakar dasar kesihatan awam, Dr Khor Swee Kheng.

Beliau berkata, walaupun penutupan beberapa sektor ekonomi mungkin diperlukan untuk membendung penularan Covid-19, penutupan itu secara khasnya dan PKP secara umumnya hanya langkah sementara.

Oleh itu, katanya, Malaysia perlu mengumumkan strategi pasca-PKP untuk jangka masa panjang.

"Unsur-unsur strategi itu sudah pun dicadangkan oleh pelbagai pakar kesihatan sejak tahun lalu, dan kerajaan haruslah mendengar pandangan pakar-pakar kesihatan," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Azmawati Mohammed Nawi, berkata pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh rakyat perlu diperketatkan.

"Agak sukar untuk kerajaan membuat tindakan yang lebih tegas seperti PKP 1.0 kerana ia menjejaskan ekonomi negara.

"Jelas kita dapat lihat akibat kebenaran merentas negeri keluar atau masuk, terdapat peningkatan kes di negeri seperti Kelantan.

"Ini menunjukkan langkah kerajaan untuk mengadakan PKP 2.0 adalah amat wajar dan dengan tindakan menghentikan beberapa aktiviti yang dibenarkan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, tetapi dalam mengadakan tindakan tegas, sektor ekonomi sukar untuk dihentikan kerana ia akan menjejaskan ekonomi rakyat juga.

"Kesan PKP 2.0 ini harus dilihat dahulu sehingga 26 Januari ini untuk menilai apakah punca utama kluster atau kes yang berlaku.

"Jika kebanyakan kes wujud akibat sektor ekonomi yang giat dilakukan maka tindakan tegas mungkin boleh diambil.

"Penilaian risiko perlu dilakukan berterusan untuk langkah yang lebih baik dalam mengurangkan kes Covid-19.

"Rakyat perlu prihatin, lebihkan promosi bagaimana jangkitan dan kematian yang berlaku. Denda yang lebih tinggi atau ketat untuk kegagalan pematuhan SOP perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran rakyat," katanya.

Semalam, Malaysia melaporkan kes Covid-19 harian tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 4,029 kes.

DR KHOR Swee Kheng. FOTO Ihsan Dr Khor Swee Kheng
DR KHOR Swee Kheng. FOTO Ihsan Dr Khor Swee Kheng

Kes dengan catatan ribu harian mula dicatatkan pada 24 Oktober 2020 dan kemudian turun naik antara tiga dan empat angka.

Sepanjang Januari 2021 setakat ini kes kekal empat angka manakala bagi Disember 2020 hanya tarikh 2 Disember dan 9 Disember di tiga digit, selebihnya mencatatkan empat digit kes harian.

Kerajaan melaksanakan semula PKP untuk tempoh 14 hari bermula 13 Januari 2021 hingga 26 Januari 2021.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 1:16 PM