Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Aidilfitri dibuat kerana Malaysia kini berada pada titik genting dalam peperangan berdepan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, respon segera perlu dilaksanakan kerajaan kerana mahu melindungi nyawa rakyat daripada virus maut ini.

Beliau berkata, keputusan melaksanakan PKP itu bukan popular dan mendapat tentangan ramai, namun kerajaan tidak mempunyai pilihan kerana kes boleh melonjak sehingga puluhan ribu jika rentas negeri dan daerah dibenarkan pada Aidilfitri ini.

"Saya tahu, ini bukan satu keputusan yang popular. Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok.

"Saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara saudari. Akhirnya, habis sahaja kita merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif Covid-19 di negara kita berkemungkinan melonjak ke puluhan ribu sehari," katanya dalam Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri, malam ini.

Muhyiddin berkata, rakyat dirayu untuk terus meningkatkan disiplin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa.

Beliau berkata, hidup di zaman pandemik sama seperti zaman perang yang memerlukan rakyat mencari perlindungan untuk menyelamatkan nyawa.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2021, malam ini. FOTO ihsan RTM
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2021, malam ini. FOTO ihsan RTM

"Untuk meningkatkan lagi keberkesanan tindakan kesihatan awam dalam memerangi Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan ujian swab Covid-19 dan melaksanakan pengesanan kontak lebih meluas dalam tempoh PKP ini.

"Kita berjaya melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 dalam gelombang pertama dan berjaya mengurangkan angka jangkitan dalam gelombang kedua.

"Dengan izin Allah SWT dan disiplin kendiri kita melawan Covid-19, kita akan berjaya menewaskan gelombang ketiga yang sedang dihadapi pada masa ini," katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun PKP dilaksanakan, kerajaan tidak menutup sektor ekonomi dan industri yang boleh terus beroperasi dengan mematuhi SOP ketat.

Beliau berkata, jika sektor ekonomi ditutup negara kehilangan hampir RM2.4 bilion sehari serta kadar pengangguran meningkat dan ia akan merugikan negara serta menyusahkan rakyat.

"Pada kali ini (PKP), kerajaan tidak menutup sektor ekonomi, namun pemantauan akan dibuat dengan lebih ketat ke atas premis perniagaan, kilang dan asrama pekerja untuk mengelakkan jangkitan berlaku dalam sektor berkaitan.

"Jadi, saya menyeru kepada majikan dan pekerja supaya sentiasa mematuhi SOP di tempat kerja dan melaksanakan dasar bekerja dari rumah untuk mengurangkan kesesakan di tempat kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 10:03 PM