GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Semua pihak dalam sektor perubatan, termasuk swasta, perlu memberi kerjasama kepada kerajaan dalam membantu merawat pesakit Covid-19.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ada mengeluarkan pekeliling mengenai perkara itu.

"Berdasarkan ordinan darurat yang dikeluarkan baru-baru ini, ada menyatakan semua pihak (sektor kesihatan) diminta merawat pesakit Covid-19, maka mereka mesti beri kerjasama.

"Namun ia masih di peringkat perbincangan. Apabila dilaksanakan nanti, mana-mana pihak yang tidak menerimanya berdepan tindakan," katanya dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan denda sehingga RM5 juta akan dikenakan kepada hospital swasta yang enggan menerima pesakit Covid-19 seperti tular di media sosial.

Berdasarkan dokumen ordinan yang disiarkan laman web rasmi Pejabat Peguam Negara kelmarin, arahan untuk rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan mengikut perenggan 11(3)(a) dan (b) Akta

Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 9 menyatakan, mana-mana orang yang melanggar atau gagal mematuhi permintaan atau arahan Yang di-Pertuan Agong atau orang yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong, melakukan suatu kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Hukuman sedemikian berupaya dikenakan terhadap syarikat, perkongsian liabiliti terhad, firma, pertubuhan atau kumpulan orang yang lain, sekiranya disabit bersalah melanggar kedua-dua seksyen terbabit.

Ditanya sama ada kemudahan kesihatan kerajaan sudah digunakan sepenuhnya untuk menampung jumlah pesakit Covid-19 yang meningkat, Dr Zainal Ariffin berkata, kemudahan itu semakin berkurangan dan KKM sudah melaksanakan polisi baharu iaitu pesakit Covid-19 di tahap satu serta dua (tidak bergejala dan gejala ringan) termasuk kontak rapat, dikuarantin di rumah.

Sementara itu, Pakar Dasar Kesihatan Awam Dr Khor Swee Kheng berkata, kira-kira 80 peratus daripada mereka yang dijangkiti Covid-19 tidak menunjukkan gejala atau bergejala ringan.

"Mereka biasanya diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) seperti di MAEPS Serdang dan bukannya di hospital kerajaan.

"Jadi, kita harus meneliti tahap penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad umum di hospital kerajaan serta PKRC untuk melihat sama ada fasiliti kesihatan kerajaan sudah digunakan sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 4:24 PM